Menghadiri Temu Janji Temuduga Yang Ke-4: 2nd Interview (Tawaran Kerja)

Ini merupakan temuduga aku yang terakhir sepanjang tempoh 5 minggu pencarian kerja baru bagi aku. Aku telah pun membuat keputusan untuk menerima tawaran kerja yang telah ditawarkan kepada aku ini. Aku tak nak mengumumkan syarikat mana yang telah menawarkan kerja kepada aku di blog ni, cukuplah sekadar aku ceritakan pengalaman temuduga kali ke-2 dengan pihak tertinggi pengurusan syarikat.

Pada hari yang sama selepas aku menghadiri temu janji temuduga yang ke-2 dan yang ke-3, aku telah menerima satu panggilan untuk datang ke temuduga kali ke-2 pada keesokan harinya, tetapi kali ini pihak pengurusan tertinggi syarikat pula yang berminat untuk menemuduga aku. Pihak pengurusan tertinggi ni bukan calang-calang orangnya, keretanya sahaja lagi mahal daripada rumah yang aku beli siap dengan pemandu lagi. Hampir 2 jam jugaklah aku menunggu untuk bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi ni. Nak dapatkan kerja ni, kita seharusnya bersabar dan sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang perlu kita tempuhi. Janganlah asyik fikir nak lari jer, tu jalan mudah namanya.

Bila sampai je masa untuk bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi syarikat, inilah masanya untuk aku menjual diri sendiri. Aku pun persembahkanlah segala apa yang dah tertulis di resume aku tetapi tak se'detail' apa yang aku present pada interview yang pertama sebab aku tahu pihak pengurusan tertinggi ni dia lain sikit corak pemikiran mereka jadi kita perlu fahami apa sebenarnya yang diorang nak daripada kita. Aku rasa ada la dalam setengah jam jugak pihak pengurusan tertinggi syarikat tu bertanyakan soalan kepada aku dan jugak menceritakan apa hala tuju mereka. Habis jer diorang bercerita dan rundingan berkenaan gaji ditawarkan, diorang pun akhiri sesi temuduga dengan memberitahu yang mereka akan hubungi aku semula selepas perbincangan dalaman telah diputuskan. Aku pun pulang ke rumah dengan hati yang lega setelah segalanya berjalan dengan maklumbalas yang positif.

Pada lewat petang hari yang sama, aku telah menerima panggilan telefon daripada syarikat yang aku hadiri temuduga ke-2 dengan pihak pengurusan tertinggi tadi dan mereka telah pun menawarkan jawatan yang aku dah pohon dengan gaji yang telah dirunding. Aku sebenarnya tak sangka mereka buat keputusan dengan begitu cepat tetapi mungkin inilah yang dikatakan rezeki. Akhirnya segala penat lelah aku ke sana ke mari membuahkan hasil. Aku sangat bersyukur kepada ilahi di atas peluang pekerjaan yang ditawarkan ini. Aku akan mula bertugas di tempat baru pada 2 Julai 2012 ini.

You Might Also Like

0 komen