Selasa, 10 Julai 2012

Keputusan Temuduga Kerja (Mei 2012) di Technip Dah Keluar

6 minggu selepas temuduga kerja terbuka Technip di Berjaya Times Square pada bulan Mei yang lepas telah pun diumumkan. Bagus juga pihak pengurusan Technip ni sebab hari tu dia ada maklumkan yang keputusan dijangka keluar dalam masa 4-6 minggu daripada hari temuduga. Jadinya pada 4 Julai yang lepas, satu e-mail telah pun aku terima:

E-mail daripada HR Technip

Apa boleh buat, rezeki di situ belum ada lagi untuk aku. Tapi kenapa pulak aku nak susah hati kan? Aku dah dapat pun tawaran kerja dan telah membuat pilihan dah pun.

Ahad, 8 Julai 2012

Membuat Pilihan Antara 2 Tawaran Kerja

Usaha tangga kejayaan, itulah falsafah yang seringkali kita dengar dalam kehidupan kita seharian. Kita berusaha, berdoa dan bertawakal. Setelah kita berjaya, kita seharusnya sentiasa bersyukur di atas pemberian ilahi. Namun begitu terdapat juga ujian yang dilontarkan kepada kita. Dalam contoh aku, aku telah pun mendaftarkan diri di tempat kerja baru aku pada 2 haribulan yang lalu. Hari pertama kerja, banyak kerja-kerja HR yang perlu diselesaikan dulu macam pendaftaran fail pekerja, bukak akaun untuk penerimaan gaji dan macam-macam lagi. Di samping tu ada juga sedikit briefing oleh manager dan mungkin sedikit training berkenaan syarikat dan produk.

Dalam kesibukan di hari pertama tersebut, aku telah pun mendapat satu panggilan telefon daripada salah sebuah syarikat yang aku telah hadir ke temuduga sebelum ni dan aku telah pun berjaya mendapat tawaran kerja. Sememangnya aku gembira kerana sekali lagi telah pun berjaya mendapatkan tawaran kerja tetapi dalam masa yang sama keliru kerana telah pun membuat keputusan untuk bekerja di tempat yang aku dah pilih tatkala itu.

2 surat tawaran jawatan daripada 2 buah organisasi yang berbeza industri

Pelbagai faktor yang aku terpaksa ambil kira dalam membuat keputusan sama ada hendak kekal di tempat yang telah aku laporkan diri atau berhijrah sekali lagi ke satu tempat baru:

Faktor Syarikat A (SME) Syarikat B (MNC)
Gaji Gaji memuaskan Gaji agak tinggi dan menarik
Jawatan Business Development Executive -
Skop kerja yang aku dah biasa buat
Account Management Executive -
Skop kerja baru yang perlu aku pelajari
Lokasi 20km daripada rumah tanpa tol -
Hanya 20-30 min ke ofis
30km daripada rumah; RM5.20 tol sehari -
hampir sejam ke ofis dengan trafik jem di pelbagai lokasi
Terma Kerja tetap Kontrak setahun
Faedah Cuti 18 hari setahun
Faedah perubatan meliputi famili terdekat, terhad kepada RM800 setahun
Cuti 14 hari setahun
Faedah perubatan meliputi diri sendiri sahaja, terhad kepada RM500 setahun

Daripada tawaran di atas, ada satu perkara yang aku telah buktikan yang telah pun menyangkal sangkaan aku sendiri. Pengalaman kerja adalah antara perkara yang lebih penting dititikberatkan oleh majikan (swasta terutamanya) berbanding dengan kelulusan akademik. Aku hanya mempunyai diploma sahaja, tu pun dalam bidang yang tidak ada hubungkait pun dengan kerja aku sekarang. Rupanya tanpa ijazah pun tiada apa pun yang mustahil.

Walaubagaimanapun, keputusan tetap perlu diambil. Malam tu, tak nyenyak tidur aku dibuatnya.

Kalau korang jadi aku, yang mana satu korang akan pilih agaknya?

Berkunjung ke Zoo Melaka

Setelah penat menghadiri temuduga semua tu, tibalah masa untuk berehat dan bersantai menenangkan minda sebelum bermulanya kerjaya baru minggu depannya. Memandangkan aku dan isteri akan menghadiri satu kenduri kahwin di Melaka, kami membuat keputusan untuk ikut rakan kitorang mengunjungi Zoo Melaka dah alang-alang berkunjung ke sana. Mari tengok gambar-gambar yang sempat dirakamkan:

Resit letak kereta Zoo Melaka - RM2 sekali masuk

Pintu hadapan Zoo Melaka

Senarai harga tiket Zoo Melaka

Kaunter tiket Zoo Melaka

Kami bergambar kenangan di Kaunter Tiket Zoo Melaka

Tiket masuk dewasa Zoo Melaka berharga RM10 seorang

Tak berapa faham kenapa kena guna "Footbath" ni, takde pun air nya..

Batu Tanda Zoo Melaka

Burung kakak tua Macaw

Macaw Bersayap Hijau

Lukis-lukis muka budak-budak 

Taman Permainan Kelab Nuri Bank Rakyat, Zoo Melaka

Sangkar Burung Hantu Kuning

Ada Zebra la..

Badak pun ada jugak..

Fuhh..macam citer Madagascar la...

Badak Putih di Zoo Melaka

Kuda kecik?

Capybara..binatang apa pulak ni?

Jarang tengok pulak haiwan ni..

Badak Cipan atau Tapir - Rupanya ada dua nama pulak haiwan ni

Tapir ataupun Badak Cipan sedang berehat

Batman pun ada jugak? Tapi kenapa kelawar-kelawar ni selamber jer tido dalam terang?

Jadual Persembahan Hidupan Liar

Letih la nak berjalan..naik Trem jer lah

Ramai la pulak orang duk tengah beratur nak naik Trem ni..

Okaylah tempoh tunggu dia..takde la lama sangat

Jadual Operasi Tram dan harga tiket

Tiket Trem dijual waktu dah naik karang

Merpati dua sejoli..

Bagai pinang dibelah dua..

Tiket naik Trem..mana satu ejaan yang betul ni? Tram ke Trem? Yapadaa...

Syarat-syarat naik trem..

Aku ada la sempat rakamkan video sikit sepanjang aku naik Trem kat Zoo Melaka ni, meh tengok:


Aku ingatkan Zoo Melaka ni besar, rupanya takde la besar sangat. Ada orang komplen kata Zoo Melaka ni kotor, sepanjang aku kat sana aku rasa takde la teruk sangat. Tempat dah lama, biasalah kalau ada tempat-tempat yang dah usang dan buruk ni. Pada aku Zoo Melaka ni okay jer. Datang la melawat sini kalau berkesempatan.

Hantu Carik Kafan..nama pelik-pelik jer diorang ni kasi..

Kotak Feedback waktu nak melangkah keluar daripada Zoo Melaka -  Macam kesian la pulak..

Aik..malam pun Zoo Melaka ni bukak rupanya..

Okaylah, kesimpulan aku boleh katakan di sini adalah Zoo Melaka ni tempat dia okay cumanya kalau nak yang lebih menarik lagi sudah semestinya Zoo Negara lagi best..betul tak?

Isnin, 2 Julai 2012

Menghadiri Temu Janji Temuduga Yang Ke-5: HeiTech Padu

Sehari sebelum majlis perpisahan kecil-kecilan di syarikat yang bakal aku tinggalkan waktu tu, aku menerima satu panggilan telefon daripada satu agensi pekerjaan. Dia kata yang dia berminat tengok profile aku di Monster.com.my dan nak hantar profile aku ni kepada satu client dia. Gaya cakap dalam telefon lagi aku dah tahu dah yang ejen ni daripada India. Memandangkan aku waktu tu masih dalam mood bercuti, aku pun okaykan aje. Dia siap bagitahu jawatan dan syarikat yang dia nak hantar profile aku tu, sebuah syarikat IT yang agak terkemuka juga. Dalam hati aku, aku tak rasa mereka akan berminat dengan pengalaman dan lagi-lagilah kelayakan aku yang belajar dalam bidang lain, kerja bidang lain.

Keesokannya harinya selepas majlis perpisahan aku tu, aku menerima satu lagi panggilan telefon daripada ejen tu dan dia kata client dia dah pun bersetuju untuk mengadakan satu temujanji temuduga pada minggu hadapannya. Aku terkejut jugak sebab aku tak jangka pun sebuah syarikat IT yang ada dalam list di Bursa Saham berminat nak jumpa aku yang kerdil ni. Jawatan pulak bukan jawatan yang main-main punya, Account Manager tu. Aku jawab kat ejen aku tu tolong hantar e-mail detail dulu untuk aku teliti dulu dan aku akan bagitahu keputusan aku petang sikit.

Setelah berfikir dan berfikir, aku akhirnya buat keputusan untuk menolak tawaran temuduga ni sebab sebelum ejen tadi tu call aku, syarikat yang aku akan mula bertugas minggu depannya dah pun call dan aku pun telah confirm yang aku akan datang lapor diri. Aku pun hantarlah email kepada ejen tadi, dia call aku balik pastu dia macam tak puas hati kenapa aku tak nak pergi semua. Aku tersilap pulak pergi bagitahu dia berapa gaji aku kat syarikat yang offer aku tu, dia pun cakap la yang gaji yang client dia tawarkan ni range adalah daripada RM4k - RM10k dan aku sepatutnya dapat at least RM1k daripada jumlah gaji aku sekarang ni berdasarkan pengalaman yang aku dah ada semua. Aku cakap dengan baik kat dia yang aku dah pun confirm nak lapor diri semua, pastuh dia boleh pulak bagi cadangan kat aku untuk lapor diri lewat sikitlah, dia kata kalau aku nak carik kerja lain pun mesti paling kurang pun setahun lepas kerjalah, jangan sia-siakan peluang ni lah. Aku jawab kat dia, aku mintak maaflah sebab kalau temuduga minggu depan memang aku tak dapat hadir lagilah sebab aku dah mula kerja, takkan dah mula kerja boleh pulak sesuka hati keluar pastu pulak nak pergi interview kerja lagi. Dia pun kata okay, dia suruh aku fikirkan dulu malam ni, esok dia akan call aku balik. Aku memang dah buat keputusan tak nak pergi dah lah.

E-mail panggilan interview dan borang permohonan kerja di HeiTech Padu

Petang tu jugak, ejen ni call aku balik dan bagitahu kata client tu dah bersetuju nak jumpa aku pada hari esoknya hari Jumaat. Aku terfikir yang dahsyat jugak ejen ni, dia siap boleh mintak client ubah tarikh interview aku daripada minggu depan ke esok hari. Memang bersungguh-sungguh nak suruh aku pergi jugak ke interview kerja ni. Aku rasa dia nak kejar jugak komisyen dia kut. Aku hargai segala usaha dia, aku pun bersetujulah untuk hadiri sesi temuduga kerja ni. Rupanya temuduga kerja aku masih belum berakhir la pulak.

Esoknya, habis jer sembahyang Jumaat aku dah berkejar naik tren Komuter yang terletak dekat jer dengan rumah aku. Aku terlepas pulak tren pukul 3.15pm untuk ke Subang, dah nak kena tunggu tren pukul 3.45pm pulak. Oh yer, aku naik tren ni sebab petang karang isteri aku nak datang ambik aku di USJ sana. Kalau aku bawak kereta aku nanti dah nak kena bawak 2 biji kereta pulak untuk balik. Jadinya tren pukul 3.45pm sampai, aku tiba di Subang Jaya pada jam 4.40pm.

1st time aku nak pergi job interview naik tren

Tren Komuter ni dah baru lah. Koc dia sekarang dah cantik dan moden.

Hentian bas di hadapan Carrefour Subang Jaya
Asalnya aku nak naik bas sebab aku hanya bawak RM7 jer dalam dompet. Sekali tunggu punya tunggu, aku pun tak tahu bas mana nak naik pastu tengok jam pulak dah pukul 5pm. Aiseyman, appointment pukul 5.30pm ni, kang lambat pulak aku sampai. Aku pun pergi cucuk duit sikit kat ATM dalam Carrefoure pastuh tahan teksi. Teksi kat Malaysia ni kalau nak pergi mana-mana tak boleh masuk dan duduk terus pastu bagi arahan kat pemandu. Kalau buat macam tu dan pemandu teksi tu tak nak pergi tempat yang kita nak, kita la yang terpaksa turun kat tempat yang kita naik tadi. Jadinya aku tanya dulu pemandu tu boleh pergi kat Segi College USJ tak? Pemandu tu jawab, "RM10 boleh? Dah petang ni jalan situ dah mula jem". Aku dah agak lewat waktu kata boleh la..Haram tak guna pun meter teksi tu.

Dalam teksi, dah nak sampai ke destinasi

HeiTech Village: Sampai jam 5.10pm

HeiTech Managed Services

HeiTech Padu Level 1

Aku di lobi Corporate Reception HeiTech Padu
Waktu aku sampai dan serahkan borang permohonan semua, aku nampak ada sorang lagi calon yang hadir seorang wanita yang berketrampilan yang agak bisnes sikit sedang mengisi borang. Aku rasa dia antara pesaing aku ni. Sepatutnya dia kena masuk dulu tapi memandangkan aku dah siap dah isi borang semua, aku dijemput masuk dulu. Dalam bilik tu, panel ada dua orang sorang laki dan sorang perempuan. Yang laki tu aku rasa bos kepada salah satu anak syarikat HeiTech Padu. Bidang yang dinyatakan adalah dalam transportation segment. Macam biasa, job interview start dengan bercerita mengenai diri sendiri.

Kali ni interview agak susah jugak sebab dia kata semua skill dan pengalaman yang aku ada dah memenuhi kriteria yang dia nak. Cuma yang aku takde adalah skill untuk membuat jualan yang dah terbukti sebagai seorang Account Manager. Aku pulak dia kata ada potensi untuk kerja ni tapi aku kena mengubah sikit personaliti aku yang masih lagi 'pemalu' kepada 'outgoing' kalau aku betul-betul nak berjaya dalam bidang dan jawatan ni. Aku ada jugak tanya 'Berapa lama proses membuat jualan yang selalunya diorang buat dalam syarikat kat sini?', bos tadi menjawab 'Tu bergantung kepada how aggressive you are', memang betul pun kalau ikut logik buat sales ni. Cumanya aku teringat kat syarikat yang aku yang sebelum ni pernah ambil sorang Sales Manager yang berpengalaman untuk uruskan bab sales dan marketing. Lebih 6 bulan dia kerja tapi masih belum dapat satu pun jualan. Gaji yang dia dapat memang agak tinggi jugak, rasanya 4-5 kali ganda gaji aku sebelum ni. Jadinya aku ada satu tanggapan 'limiting belief' yang untuk menghasilkan sales dalam bidang IT ni memerlukan masa yang cukup panjang. 

Dah ke cerita lain pulak dah, aku dah berterus terang kat panel temuduga tadi tu yang aku dah pun bersetuju nak kerja di syarikat lain tapi diorang tanya pulak kalau ada 2 pilihan, mana satu akan aku pilih. Mesti lah aku pilih syarikat besar ni sebab benefit dia lagi bagus. Apa pun, diorang tak boleh kasi keputusan lagi sebab perlu tengok lagi calon-calon lain. Sebenarnya aku rasa interview kali ni yang paling nervous sekali antara semua temuduga yang aku dah pergi mungkin sebab aku masih lagi bertanggapan negatif lagi terdapat satu perkataan keramat yang dinamakan 'SALES'. Kalau diikutkan, jawatan sales ni adalah jawatan yang paling dihargai oleh bos mana-mana syarikat sebab dia boleh bawak masuk duit kepada syarikat. Duit adalah 'darah' kepada sesebuah bisnes, takde duit, takdelah bisnes, betul tak? Kalau anda merupakan top sales performer mana-mana syarikat, mesti bos syarikat tu takkan lepaskan anda punya kan?

Habis jer interview, aku terus ke Summit USJ bersebelahan HeiTech Village dan Segi College. Kat tengah-tengah ruang legar ada jualan murah buku oleh Popular Bookstore. Aku terjumpa buku ni (harga murah giler, RM10 jer sebuah. Terus aku angkat sebuah..):

Ultimate Selling Power dan Superstar Sales Secrets

Aku teringat kembali zaman aku belajar pasal Sales ni 7 tahun lepas. Waktu tu aku tengah gila pergi ke semua seminar pasal Personal Development. Siap kerja lagi dengan seorang jutawan British yang sekarang ni nama dia tengah hot dalam bidang Sales Training. Kenapalah aku tak apply semua ilmu yang aku dah belajar dulu? Agaknya bila berada di zon selesa, kita akan kurang berusaha meningkatkan tahap kemahiran diri kita. Bila dah keluar daripada zon selesa macam aku sekarang ni yang duit pun dah nyawa-nyawa ikan jer tinggal, baru lah terhegeh nak berusaha kuat sikit untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin betullah apa orang kata, ada hikmah di sebalik musibah. Mungkin inilah masa dan ketikanya perubahan dalam hidup aku sedang diatur oleh satu kuasa yang kita sendiri tak tahu atau sedar.

Ahad, 1 Julai 2012

Bertemu dan Berpisah Adat Manusia Biasa

Setelah bercuti panjang tanpa gaji sejak 21/5/2012, pada 18/6/2012 aku telah pun menghantar surat perletakan jawatan secara rasmi kepada pihak pengurusan syarikat. Pada 21/6/2012 aku telah pun bertemu dengan bos, berbincang dan beliau telah bersetuju untuk melepaskan aku daripada syarikat secara efektifnya 22/5/2012. Sebenarnya aku telah pun nekad untuk meninggalkan syarikat sejak aku menghadiri temuduga terbuka yang pertama di Berjaya Time Square untuk Technip.

Banyak faktor yang aku telah ambil kira untuk mencari tempat kerja di tempat lain ni tapi aku tak nak salahkan pihak syarikat sangat dalam hal ni, cukuplah aku kata yang aku perlukan tempat baru untuk aku berkembang dalam perjalanan kerjaya aku sendiri. Aku ingin berterima kasih kepada bos yang telah pun membuat bayaran gaji terakhir aku dan terima kasih juga di atas segala pengalaman dan tunjuk ajar yang telah diberikan.

Apa pun, di tempat aku kerja ni ada satu tradisi yang menjadi amalan turun temurun di mana sesiapa yang nak meninggalkan syarikat perlu membuat satu jamuan perpisahan dan menjemput semua staf yang ada datang serta memberikan sepatah dua kata. Jadinya dengan bantuan mak aku, aku telah membawa sedikit juadah sarapan untuk rakan-rakan di ofis. Sekejap jer dah licin.

Rakan-rakan menikmati juadah sarapan yang aku bawa

Sehabisnya majlis kecil-kecilan ni, terdapat satu perkara lagi yang aku perlu selesaikan.

Pejabat yang akan dirindui

Laptop HP 6530 yang telah aku guna sejak hampir 4 tahun yang lalu

Aku kena pulangkan laptop syarikat yang telah berada dalam jagaan aku sejak hampir 4 tahun yang lalu. Memang sedih sebab terpaksa berpisah dengan teman setia aku ni tapi nak buat macam mana, ianya kepunyaan syarikat kan?

Membungkus laptop untuk dipulangkan

Pemilik baru kepada laptop yang dipulangkan

Diharap pemilik baru ini dapat menjaga laptop ni sebaik-baiknya. Aku doakan yang terbaik untuk mereka yang masih tinggal dan semoga syarikat dapat berkembang maju dan berjaya di masa akan datang. 

Entri Sebelum-sebelum Ni

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...